Keratan Akhbar

Posted by Inspirasi Wawasan in

Keratan Akhbar semperna Seminar Percukaian IPTA/IPTS di Kolej Universiti Islam Melaka pada 22 Januari 2014

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI) 3 Februari 2014


Sumber : Melaka Hari Ini (MHI) 21 Januari 2014

Masyarakat & Cukai

Posted by Inspirasi Wawasan in

MASYARAKAT DAN CUKAI

Oleh:
Mohd Hisham b. Mohd Nor, A.N.S, P.P.C
Presiden, Inspirasi Wawasan

Pendahuluan

Cukai adalah merupakan suatu cara kerajaan mengumpul hasil daripada individu, syarikat atau badan lain untuk membiayai perbelanjaan negara seperti pembangunan sosio-ekonomi.

Secara umumnya tiada seorang pun suka membayar cukai dan sekiranya diberi pilihan ramai yang tidak mahu membayar cukai. Ini kerana cukai dianggap sebagai satu bebanan atau tekanan kepada individu.

Namun cukai merupakan elemen terpenting sebagai sumber hasil kepada sesebuah negara. Dengan sistem pungutan cukai yang efisien dan teratur, sesebuah negara itu mampu menjana hasil yang tinggi dan stabil bagi digunakan untuk kebaikan rakyat dalam pembangunan sosio-ekonomi.

Sistem kutipan cukai berbeza mengikut negara dan budaya serta berubah dari masa ke semasa mengikut perubahan zaman. Sebagai contohnya, pada zaman awal tamadun manusia, cukai dibayar dalam bentuk barangan seperti gandum, beras, gula atau barang ternakan. Apabila sistem kewangan dan matawang diperkenalkan maka cukai dibayar dalam bentuk matawang mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh sesebuah pemerintah.

Sejarah Percukaian

Sejarah percukaian dunia telah bermula sejak beribu tahun dahulu. Perkataan cukai atau ‘Tax’ itu sendiri wujud pada abad ke 14. Ianya lahir dari perkataan Latin taxare yang memberi maksud assess. Negara China mempunyai sejarah percukaian yang lama dan cukai telah dikenakan sejak 3000 tahun yang lalu. Cukai yang dikutip di kebanyakan negara di dunia pada ketika itu sebahagian besarnya adalah untuk membiayai peperangan.

Sistem percukaian di Tanah Melayu telah bermula sejak zaman Kesultanan Melaka iaitu sebelum kedatangan penjajah barat ke Tanah Melayu. Pada ketika itu, jawatan yang dipertanggungjawab untuk memungut cukai ialah Syahbandar dan mereka merupakan golongan yang menguatkuasakan peraturan dan undang-undang pelabuhan melalui kuasa yang diberi oleh Raja untuk memungut cukai di pelabuhan. Cukai juga dikutip untuk tujuan melindungi semua kapal  yang melalui Selat Melaka dan sebagai caj penggunaan kemudahan pelabuhan.

Selepas kedatangan British dan penubuhan Negeri-negeri Selat, pada tahun 1826, pentadbiran cukai ditadbir oleh seorang Gabenor dan sebuah Majlis Jeneral di Calcutta yang mana ia dikawal oleh Board of Control Syarikat Hindia Timur. Namun  beberapa struktur dan amalan percukaian yang telah digunakan oleh pembesar melayu sebelum ini masih dikekalkan seperti sistem Tax Farming iaitu satu bentuk percukaian dengan memajak kuasa memungut cukai kepada pemajak yang paling tinggi dengan dikenakan lesen kepada pemajak dan cara ini dapat melicinkan proses pungutan cukai eksais.

Daripada sejarah ringkas ini, jelas menunjukkan percukaian berperanan penting dalam perkembangan sistem ekonomi dan sosial sesebuah negara sejak manusia hidup bertamadun dan matlamat utama kerajaan mengenakan cukai dari zaman dahulu hingga sekarang adalah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi perbelanjaan negara dan rakyat.

Peranan cukai untuk pembangunan

Sesebuah kerajaan yang memerintah memerlukan hasil untuk mentadbirkan sesebuah negara. Sekiranya negara kekurangan hasil, maka ia terpaksa menampung segala perbelanjaan untuk projek pembangunan melalui pinjaman. Negara tidak boleh bergantung kepada pinjaman semata-mata untuk menguruskan pembangunan tanpa mendapatkan sumber atau hasil dari dalam negara kerana ia boleh mengakibatkan sesebuah negara itu menjadi muflis. Apa yang berlaku di negara lain seperti Greece dan Sepanyol adalah negara mereka tidak mempunyai hasil yang mencukupi dan terpaksa meminjam dari luar sehingga menyebabkan matawang mereka jatuh.

Di Malaysia, kita mempunyai hasil kekayaan bumi seperti getah, padi, kelapa sawit dan minyak. Bijih timah pada satu ketika dahulu adalah merupakan hasil utama negara yang menyumbang kepada pendapatan negara. Namun begitu negara ini tidak boleh bergantung kepada hasil komoditi dan petroleum kerana hasil yang ada di perut bumi ini akan berkurangan dan kehabisan pada satu hari nanti. Ianya merupakan pendapatan yang tidak stabil dan nilai dagangan berdasarkan kepada permintaan pasaran dunia. Pengeluaran minyak dan gas kian menyusut dan akan kehabisan pada satu hari nanti. Negara perlu mencari sumber yang lain bagi menjana pendapatan untuk meneruskan pembangunan. Cukai dilihat sebagai satu sumber pendapatan yang stabil bagi sesebuah negara.

Negara yang kaya dengan hasil minyak dan gas seperti di Asia Barat terutamanya Arab Saudi, Qatar, dan UEA tidak memerlukan hasil dari cukai untuk menampung perbelanjaan negara. Malah negara berkenaan memberi banyak manfaat kepada rakyat untuk terus maju dalam pelbagai bidang seperti perniagaan dan sukan hasil dari minyak dan gas. Sebagai contohnya Qatar adalah merupakan sebuah negara kecil dengan penduduk seramai 2 juta dikatakan mempunyai simpanan gas ketiga terbesar di dunia. Simpanan gas tersebut mampu bertahan selama 160 tahun dan menjadikan negara tersebut tidak perlu bergantung kepada hasil yang lain seperti cukai.

Prinsip asas percukaian iaitu sebagai satu mekanisme mengumpulkan hasil daripada individu, syarikat atau entiti lain adalah untuk membangunkan negara dan menyediakan pelbagai kemudahan awam demi untuk kesejahteraan rakyat tetap kekal hingga ke hari ini.

Hasil dari cukai yang dipungut oleh kerajaan dapat di manfaatkan oleh seluruh rakyat seperti berikut:
          a)     Keamanan
                  hasil dari perbelanjaan negara ke atas keselamatan seperti keperluan logistik untuk
                  tentera dan polis bagi melindungi rakyat dan Negara

          b)     Fizikal dan Pembangunan
                   membina rangkaian infrastruktur yang moden seperti jalanraya, jambatan dan rel.

          c)     Ekonomi
                  memodenkan pelabuhan untuk menggalakkan pelaburan serta memberi galakan 
                  syarikat untuk menjalankan aktiviti pengilangan
           
          d)    Sosial
                  menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan dan kebajikan kepada masyarakat.
c

Pendapatan Negara

Pada tahun 2014, hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM224 billion. Dari jumlah tersebut, hasil dari cukai langsung yang dijangka sebanyak RM133 billion, cukai tidak langsung sebanyak RM38,822 billion, hasil bukan cukai adalah sebanyak RM50.6 billion, terimaan bukan hasil sebanyak RM852 juta dan hasil daripada Wilayah Persekutuan sebanyak RM645 juta.

Jenis Cukai

Sistem Percukaian dalam negara boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu cukai langsung yang dikenakan secara langsung ke atas orang yang dikenakan cukai dan pada lazimnya atas pendapatan atau perolehan yang diterima. Cukai Pendapatan dan Cukai Korporat adalah cukai langsung yang ditadbir oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Selain dari cukai tersebut LHDN juga mengutip Cukai Keuntungan Harta Tanah dan Cukai Setem.

Cukai tidak langsung ini digunakan bagi mengagihkan semula pendapatan dan kekayaan dalam mencapai pembahagian yang lebih saksama serta mengurangkan ketidakseimbangan pembahagian kekayaan di dalam sesebuah negara. Ini dilaksanakan melalui penetapan kadar cukai individu progresif yang mana kadar cukai akan meningkat seiring dengan peningkatan pendapatan pembayar cukai. Cukai yang dibayar oleh pembayar cukai berpendapatan tinggi menjadi sumber hasil kerajaan seterusnya dapat diperuntukkan untuk menambah baik kemudahan awam bagi manfaat semua, terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Cukai Tidak Langsung pula adalah cukai yang dikenakan atas barang atau perkhidmatan ditetapkan, yang mana beban cukai ditanggung melalui harga barang atau perkhidmatan. Cukai tersebut adalah Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan  dan ianya ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM). Cukai Jualan telah berkuatkuasa sejak tahun 1972 manakala Cukai Perkhidmatan pula telah dilaksanakan sejak tahun 1975. Di samping itu juga JKDM turut mentadbir Duti Kastam iaitu kutipan cukai untuk barangan yang diimport dan eksport dan Duti Eksais untuk pengeluran pengilangan dalam negara seperti kenderaan bermotor, tembakau dan minuman keras.

Disamping itu juga terdapat cukai lain yang dikutip oleh Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Daerah/Perbandaran dan Pejabat Tanah di setiap Daerah. Majlis Kerajaan Tempatan mengutip Cukai Taksiran yang mana ianya diperuntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Hasil pendapatan daripada cukai ini akan digunakan untuk membiayai kos operasi di kawasan majlis seperti kutipan sampah, membina taman rekreasi membaiki jalan serta menyediakan kemudahan awam. Pejabat Tanah dan Daerah pula mengutip Cukai Tanah berdasarkan kepada hakmilik yang dilupuskan oleh Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1966.

Dalam sistem ekonomi moden, sistem percukaian tidak dilihat sebagai instrumen untuk mendapatkan hasil pendapatan kerajaan. Cukai kini merupakan sebagai satu  proses pindahan wajib sumber ekonomi daripada sektor swasta kepada sektor awam bagi mencapai objektif ekonomi dan sosial negara.

Cukai juga berperanan untuk menghalang sesuatu aktiviti yang tidak diingini daripada berleluasa. Pengenaan cukai yang tinggi ke atas rokok dan minuman keras dapat membendung serta mengawal penggunaannya. Begitu juga dengan barangan import yang mana duti dikenakan bagi menggalakkan penggunaan barangan buatan tempatan.

Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia

Semasa pembentangan bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai GST berkuatkuasa mulai 1 April 2015.

GST bukanlah satu cukai yang baru tetapi ia merupakan satu sistem percukaian yang akan mengantikan cukai kepenggunaan semasa iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Cukai Jualan yang telah dilaksanakan sejak tahun 1972 dan Cukai Perkhidmatan sejak tahun 1975 didapati tidak lagi relevan dengan keadaan semasa kerana ianya mempunyai kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda keatas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai keatas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Ianya perlu digantikan dengan satu sistem percukaian yang menyeluruh dan saksama bagi memanfaatkan seluruh rakyat.

Cukai jualan pada ketika ini dikenakan di peringkat pengilangan pada kadar 5%, 10%, 20% dan spesifik manakala cukai perkhidmatan dikenakan pada kadar 6%. Sehubungan dengan itu, GST yang akan dilaksanakan nanti akan dikenakan pada kadar 6% dan kadar ini adalah yang terendah di rantau ini. Apabila GST dilaksanakan kelak, Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dimansuhkan. GST atau dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di sesetengah negara adalah merupakan cukai kepenggunaan yang mampu menjana pendapatan yang stabil kepada negara dan telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara di dunia.

GST tidak akan dikenakan ke atas barang makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, rempah ratus dan lain-lain lagi. Bekalan air paip dan penggunaan elektrik 200 unit pertama sebulan untuk pengguna domestik juga tidak dikenakan GST. Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, keretapi, teksi, LRT, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan dari GST

Kefahaman rakyat tentang cukai

Walaupun sistem percukaian telah lama wujud di negara ini, masih ramai dikalangan rakyat Malaysia yang masih tidak faham atau tidak tahu tentang kewujudan sesuatu cukai itu. Tidak seperti di negara maju yang mana rakyatnya begitu memahami tentang tanggungjawab sosial mereka sebagai pembayar cukai.

Tahap kefahaman tentang cukai dikalangan masyarakat di negara maju adalah lebih tinggi jika dibandingkan di negara ini. Mereka lebih memahami tentang konsep cukai yang dikenakan oleh sesebuah kerajaan. Segala hasil yang diterima oleh kerajaan dalam bentuk cukai akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk menyediakan pelbagai kemudahan awam bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat.

Mereka menjadi pembayar cukai yang setia walaupun di sesetengah Negara, cukai yang dikenakan begitu tinggi. Sebagai contohnya di United Kingdom, cukai VAT adalah sebanyak 20% dan ianya adalah antara yang tertinggi di dunia. Namun begitu rakyatnya tidak mempunyai masalah untuk membayar pada kadar tersebut kerana mereka tahu wang yang telah dibayar itu akan dikembalikan kepada mereka dalam pelbagai bentuk seperti elaun sara hidup, kebajikan, jalanraya, pengangkutan awam, kesihatan dan sebagainya.

Bilangan rakyat Malaysia yang membayar cukai juga jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara maju. Mengikut data Kementerian Kewangan pada 2013, hanya 1 juta dari jumlah 4 juta rakyat yang bekerja membayar cukai pendapatan manakala daripada 400,000 syarikat yang berdaftar, hanya 75,000 syarikat yang membayar cukai pendapatan. Jumlah rakyat Malaysia pada ketika ini adalah 29.7 juta dan ini bermakna 28 juta rakyat dinegara ini menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
Namun begitu, sebenarnya ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak sedar bahawa mereka sebenarnya pernah dan telah membayar cukai melalui perbelanjaan harian. Beberapa barang makanan terpilih dan juga barang lain seperti pakaian yang terdapat di pasaraya mempunyai elemen cukai jualan. Cukai jualan sebanyak 5% dan 10% telah dikenakan di peringkat pengilangan. Pada peringkat pemborong hingga peruncit, mereka telah menyerapkan elemen cukai ini di dalam harga bagi setiap barang yang dijual.

Ada juga di kalangan pengguna yang tidak menyedari bahawa apabila mereka mengunjungi restoran makanan segera, cukai perkhidmatan sebanyak 6% dikenakan bagi setiap pembelian.

Pendidikan dan kefahaman tentang cukai ini perlu diberi seawal dibangku sekolah lagi kerana mereka ini juga adalah pengguna. Pelajar perlu diberi pendedahan tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pembayar cukai serta manfaat yang diperolehi. Di peringkat pengajian tinggi, hanya pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan berpeluang untuk mempelajari tentang percukaian namun ia lebih menjurus kepada cukai langsung.

Dalam konteks ini, kerajaan perlu mengambil langkah untuk memberi kesedaran tentang cukai kepada pelajar dan rakyat. Sistem pendidikan perlu dikemaskini atau ditambah dengan modul percukaian khususnya cukai tidak langsung di peringkat pengajian tinggi agar pelajar di peringkat ini akan lebih memahami konsep percukaian negara yang lebih menyeluruh.

Usaha untuk memberi pendidikan tentang cukai kepada pelajar dan masyarakat perlu dijalankan secara berterusan dan ia merupakan satu proses yang yang akan mengambil yang lama. Namun begitu, usaha ini perlu bermula dari sekarang bagi memastikan genarasi akan datang benar-benar faham tentang konsep cukai sebagai persediaan  menuju ke arah negara maju pada tahun 2020.

Maulidur Rasul 1435H

Posted by Inspirasi Wawasan in




:: seluruh kepimpinan tertinggi inspirasi wawasan mengucapkan salam maulidur rasul 1435H ::



Sedangkan Allah dan Malaikat berselawat ke atas nabi, ini lagikan manusia. Nabi Muhammad SAW adalah Nabi yang terakhir yang menjadi utusan Allah SWT untuk menyampaikan agama Islam pada seluruh umat manusia. Sebagai seorang mukmin, adalah dituntut agar kita memperbanyakkan selawat ke atas baginda, ahli keluarga dan sahabat baginda.

Jadi, jika kita benar-benar seorang umat Nabi Muhammad SAW, kita akan selalu mengingati beliau dengan cara memperbanyakkan selawat.

Ingatlah, lagi banyaknya kita berselawat, lebih dekat kita kepada Nabi SAW. Lagi banyaknya kita berselawat, Allah dan para Malaikat berselawat pada kita lebih banyak. Maka mudahlah doa kita di angkat naik ke atas.

Seminar Percukaian KUIM

Posted by Inspirasi Wawasan in


1.0  LATARBELAKANG AKTIVITI
Di dalam pembentangan Bajet baru baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan dan memperkenalkan satu cukai baru untuk diamalkan di Malaysia pada tahun 2015. Bagi menyahut seruan YAB Perdana Menteri, Persatuan Inspirasi Wawasan  bercadang untuk mengadakan sesi penerangan Sistem Percukaian di Negara ini dan juga GST kepada pelajar IPTA/IPTS dan kepada masyarakat serta pihak pengurusan IPTA/IPTS.

Bagi memberi input tentang kesedaran percukaian masyarakat terutama pelajar IPTA/IPTS, satu program Seminar Percukaian IPTA/IPTS Melaka di rekabentuk sebagai salah satu aktiviti Inspirasi Wawasan dalam memberi kesedaran dan penerangan tentang cukai khususnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang merupakan cukai tidak langsung. Modul percukaian diperingkat universiti hanyalah cukai langsung. Cukai tidak langsung ini merupakan sesuatu yang baru bagi kebanyakkan pelajar IPTA/IPTS.

Sebagai sebuah badan NGO, yang arif tentang Sistem Percukaian dan Inspirasi pelajar, maka Inspirasi Wawasan ingin mengambil kesempatan ini untuk menerangkan secara terperinci tentang maksud Sistem Percukaian dan GST yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia.

2.0  PESERTA
Jumlah peserta adalah seramai 350 orang pelajar yang terdiri daripada beberapa pusat pengajian tinggi kerajaan dan Swasta yang sekitar negeri Melaka: 
   a. Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)
   b. Universiti Teknologi Mara, Lendu
   c. Kolej Risda
   d. Kolej Matrikulasi, Londang
   e. Kolej Kemahiran Tinggi Negara
   f. UNIKL
   h. Lain-lain IPTA/IPTS

3.0  PROGRAM 
    a. Pembentangan Kertas 1- Masyarakat dan Cukai Penceramah
    b. Pembentangan Kertas 2 – Cukai Tidak Langsung (Cukai 
        Jualan dan Cukai Perkhidmatan)
    c. Pembentangan Kertas 3 - Cukai Barang dan Perkhidmatan- 
        Satu sistem percukaian yang efisien dan telus
    d. Forum Percukaian – Menjelang GST dan cabaran (3 Panel 
        Korporat)  

4.0  JANGKAHARAP PROGRAM
Adalah menjadi harapan kami agar program ini mencapai objektif untuk memberi kefahaman kepada pelajar di peringkat pengajian tinggi khususnya tentang percukaian semasa dalam negara ini. Ianya merupakan tanggungjawab pelajar apabila bekerja kelak membayar cukai kepada kerajaan untuk pembangunan Negara pada masa akan datang.

Seluruh kepimpinan Inspirasi Wawasan  yakin dengan sokongan dari semua pihak, program ini akan dapat memberi manafaat kepada pelajar-pelajar dan juga pada peringkat pengurusan tertinggi KUIM dan di peringkat pengajian tinggi. Kejayaan mereka kelak adalah kejayaan kepada Inspirasi Wawasan  dan semua pihak yang sama-sama menjayakan program ini.

Happy New Year 2014

Posted by Inspirasi Wawasan in


PENGRURUSAN TERTINGGI INSPIRASI WAWASAN
MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2014

Special offer

Contact us